Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Wala’, Taat, Thiqah adalah kalimah yang begitu popular dalam gerakan Islam. Doktrin inilah yang menjadikan asas dan tiang serta tunggak kepada perjuangan sesebuah harakah sehingga mampu bertahan kukuh.
Setiap ahli harakah sudah berbai’ah ketika menyertai harakah. Walaupun ada di kalangan kepimpinan atau ahli biasa cabut lari, namun ahli tetap bersama dengan roda putaran harakah. Mereka tetap dengan harakah, kerana mereka taat selagi pemimpin tidak menyeleweng dengan menyertai pihak musuh.
Mereka sudah diajar oleh baginda Nabi S.A.W ketika melakukan Baiat al-Aqabah yang terkenal sebelum baginda berhijrah. Rasulullah s.a.w bersabda Maksudnya :
“Berbaiahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di atas cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah swt tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbaiah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu, jadi untuk kamu ialah balasan syurga”.
Dalam berjamaah mana ada keputusan yang diputuskan oleh jamaah semuanya ahli bersetuju. Kalau hendak tunggu semuanya bersetuju maka tidak akan bertemu keputusan.
Sama seperti dalam syarikat mana ada keputusan yang 100% di setujui oleh ahli mesyuwarah. Hatta di zaman Nabi S.A.W pun apabila keputusan diputuskan oleh Nabi S.A.W ada yang tidak berpuas hati contohnya, peristiwa pembahagian ghanimah selepas daripada peperangan Hunaian.
Rasulullah S.A.W telah berkenan untuk menyerahkan ghanimah kepada orang Quraisy yang baru memeluk Islam. Tindakan ini telah menyebabkan kaum Ansar kurang senang dan ada antara mereka mengatakan;
“Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita padahal pedang-pedang kita masih menitiskan darah mereka”
Rasulullah saw mendengar berita tersebut dan baginda mengumpul kaum Ansar dan bersabda;
“Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita kemudian Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”
Setiap kali Rasulullah saw bertanya, mereka menjawab,
“Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.
Rasulullah S.A.W meneruskan,
“Hai kaum Ansar, apakah kerana kamu marah kerana tidak menerima sampah dunia yang tiada nilainya? Dengan “sampah” itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa.”
Ini berlaku di zaman Nabi s.a.w. yang masih menjadi contoh yang hidup pada ketika itu. Maka apalah sangat di zaman kini yang semakin jauh daripada contoh Nabi S.A.W..
Kerana itulah perjuangan harakah/jamaah memastikan keimanan sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjuangan dakwah yang dapat membentuk jiwa dan roh yang hidup dengan sinar Islam. Kerana dalam perjuangan yang panjang dan jauh, pasti akan hanya mendatangkan keletihan bagi jiwa-jiwa yang tidur dan lemah, kosong daripada nilai keimanan.
Namun diyakini, jiwa yang hidup dan tersinar darinya pancaran Islam yang tidak putus pasti akan dapat mendatangkan kekuatan yang akan memastikan setiap ahli itu akan terus berada di dalam jalan juang yang panjang dan jauh ini. Dalam medan pertempuran kita menghadapi musuh, kita memerlukan persiapan dari pelbagai segi: bilangan yang cukup, keperluan yang lengkap dan kesediaan fizikal yang mantap. Namun jangan kita lupa akan persiapan dasar yang paling utama iaitu ketaqwaan dan keimanan.
Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama dalam perjuangan kita iaitu tarbiyah ketuhanan. Kerana ini adalah pendorong yang dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allahu Ta’ala sebagaimana firmannya:
“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128)
“Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi Allah” (An-Nisaa:78)
Kalau pemimpin tidak ikhlas mereka akan lari, kerana harakah bukan sesuai untuk orang jahat. Jangan pula kita menuduh bahawa wala’ , thiqah ini candu dalam harakah/jamaah untuk membolehkan pemimpin melalikan pengikut.
Ini satu tuduhan yang berat. Perlu disedari kebanyakan ahli harakah/jamaah ini mereka juga pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin di peringkat cabang atau sesuatu lajnah. Kalau kita tidak taat nanti orang pula tidak taat kepada kita, akhirnya yang hancur ialah harakah/jamaah, yang ketawa ialah musuh. Walaupun kita marah kepada pimpinan tetapi jangan kita merobohkan “Intitusi” wala’ taat dan thiqah.
Kita boleh melahirkan rasa tidak puas hati kepada jamaah di majlis yang sepatutnya, tetapi bukan dalam di luar. Menceritakan keaiban harakah dalam di luar sama seperti mendedahkan keaiban suami isteri kepada musuh dan musuh akan adu domba supaya ia menceraikan isteri dan dia akan berkahwin dengan bekas jandanya.
Faedah Taat, wala’ dan thiqah -Ahli dapat menunai tugas mengikut arahan, supaya tidak menyalahi strategi harakah/jamaah
* Dapat bertindak secara jama’i bukan individu. -Supaya kesannya terasa kepada jamaah dan masyarakat kerana ia dilakukan oleh harakah/jamaah
* Seandainya berlaku kegagalan ia tanggung oleh jamaah bukan oleh individu.
* Dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam harkah/jamaah, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang lambat dan ada yang sederhana.
Sejarah membuktikan mereka yang tidak taat, wala’ dan thiqah kepada jamaah akhirnya pihak musuh mengintai dan menyelewengkan mereka. Adakah mampu sesebuah harakah/jamaah untuk melakukan demikian kalau kita cuba memusnahkan “institusi doktrin” yang sudah lama dibina. Musuh gagal meroboh daripada luar, jangan pula kita sendiri yang hendak membantu merobohkan. Musuh gagal hendak membina doktrin ini, mereka hanya boleh hidup dan bernafas dengan wang dan kuasa sahaja.
Wallahu 'alam
13.5.10
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar